KERJA-KERJA LEPAAN (plastering works)


TUJUAN: 
Memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pelatih supaya boleh melakukan kerja-kerja MELEPA mempelajari tentang lukisan kerja akitek, penggunaan peralatan kerja melepa serta bahan, kelengkapan dalam kerja melepa dan boleh membuat kemasan pada bahagian lepaan.


KERJA-KERJA LEPAAN 


Permukaan bata yang memerlukan kerja-kerja lepaan adalah dikhususkan pada dinding atau tembok yang menggunakan bata tanah, bata pasir, blok konkrit atau apa juga jenis bata yang sesuai untuk dilepa bagi menutup permukaannya. Ini bertujuan untuk menyerlahkan lagi kecantikan, memberikan perlindungan pada dinding atau tembok yang dibina itu sendiri.

Tujuan Lepaan

i. Melindungi atau menutup kerja-kerja bata atau konkrit yang kurang elok.

ii. Melindungi atau menutup bahan binaan yang rendah mutunya.

iii. Memberikan permukaan yang lebih cantik iaitu lurus, rata dan licin.

iv. Melindungi permukaan daripada tindakan cuaca supaya ia lebih tahan lama dan lasak.

v. Memberi alas yang sesuai untuk mengecat.

vi. Menghasilkan permukaan tembok atau siling yang bersih dari segi kesihatan.


Jenis-jenis Lepaan

a. Lepa Kapur
b. Lepa Gypsum
c. Lepa Simen


a.Lepa Kapur
Lepa ini mengandungi kapur, pasir dan air yang dibancuh mengikut nisbah yang tertentu. Nisbah campuran/bancuhan yang lazimnya dibuat adalah 1:2 ( 1 bahagian kapur : 2 bahagian pasir) dan lepa ini dikemaskan lagi dengan dampul kapur.


b.Lepa Gypsum
Bahan-bahan untuk lepa jenis ini adalah terdiri daripada serbuk gypsum yang dibancuh dengan air. Bancuhan tersebut hendaklah pekat dan liat supaya mudah kerja-kerja lepaan dilakukan. Lepaan jenis ini tidak perlu tebal memadai 5 mm sahaja. Kerja-kerja lepaaan jenis ini hanya dilakukan pada permukaan siling sahaja. Lepa gypsum tidak tahan pada tindakan cuaca lembab, oleh itu lepaan hanyalah dibuat pada ruangan yang tertutup/berbumbung sahaja.

c.Lepa simen.
Lepa simen dibuat dengan menggunakan simen, kapur dan pasir halus. Nisbah bancuhan lepa simen adalah 1 : 1: 4 ( 1 bahagian simen : 1 bahagian kapur : 4 bahagian pasir halus) ataupun 1:3 jika kita menggunkan simen yang telah dimasukan kapur / simen penampal (Wallcrete / Masonry Portland Cement). Lepaan jenis ini boleh dibuat pada semua bahagian dinding samada bahagian dalam atau luar, siling dan lantai kerana ianya tahan pada tindakan cuaca.

Kerja-kerja lepa boleh dibahagikan kepada 3 bahagian :
a. Lepaan bahagian dinding
b. Lepaan bahagian lantai
c. Lepaan bahagian atas / siling


Mortar untuk Lepaan
Mortar ialah bahan utama untuk melakukan kerja-kerja lepaan. Terdapat beberapa nisbah bancuhan mortar untuk digunakan mengikut tempat yang dikehendaki. Ia terdiri daripada campuran simen dengan pasir yang dibancuhkan dengan air bersih.

a.Nisbah bancuhan 1:3 (1 bahagian simen : 3 bahagian pasir) dibuat pada tempat yang menanggung beban seperti kilang, bengkel berjentera dan lain-lain dengan ketebalan 25 mm. 

b.Nisbah bancuhan 1:4 ( 1 bahagian simen : 4 bahagian pasir) dibuat pada bahagian dinding- dinding bangunan samada bahagian luar atau dalam dengan ketebalan 18.75mm ( 20mm)

Peralatan kerja Lepa
a. Sudip lepa (Plastering Trowel)
b. Kayu perata (Wooden Float)
c. Pemaras kayu panjang (Darby)
d. Penatang Mortar (Hawk)
e. Sudip Penjuru (Angle Iron)
f. Baldi (Bucket)
g. Alat aras Spirit (Spirit Level)
h. Berus cat
i. Sponge Trowel
j. Rough Cast Machine
k. Penyembur air (Iron Spray)
l. Kotak Penyukat (Gauge Box)


Perkakas dan peralatan Kerja Lepa

Penyediaan Pada Permukaan Yang Hendak Dilepa
Tempat yang akan dilepa mestilah bersih dari sebarang kekotoran seperti habuk, tanah, minyak, cat
dan apa-apa yang menghalang mortar daripada melekat pada permukaan yang hendak dilepa.

a. Permukaan bata
Permukaan ini kebiasaanya terdiri dari bata-bata yang ikatannya dari jenis bata tanah, bata pasir ataupun blok

b. Permukaan konkrit.
Konkrit-konkrit juga memerlukan lepaan terutamanya pada bahagian lantai, dinding, rasuk, alang dan pada mana-mana permukaann yang terdedah pada cuaca. Selain untuk menutup permukaannya yang kasar, ianya juga dapat mencantikan bahagian luar agar kelihatan lebih kemas dan menarik kecuali permukaan yang tidak memerlukan lepaan iaitu hiasan asal konkrit yang diadakan dengan sengaja.

Kaedah Lepaan

Kerja-kerja lepaan yang dijalankan mempunyai kaedah yang tersendiri. Selain penggunaan mesin 
lepaan, ianya juga dilakukan secara manual iaitu lapisan demi lapisan. Lapisan untuk dilepa boleh 
dibahagikan kepada tiga lapisan.

Bagi lapisan pertama, ia dikenali sebagai lapisan asas yang dilepa kasar setebal 10-12mm. Untuk lapisan kedua ianya lebih dikenali sebagai lapisan tengah atau pertengahan. Permukaan ini dilepa
dan diratakan dengan menggunakan pemaras kayu panjang dan diratakan dengan menggunakan kayu perata. Ketebalannya dibuat setebal 8-10 mm.

Sementara lapisan ketiga iaitu lapisan penyudah atau lapisan kemasan. Lapisan ini boleh dibuat dengan kemasan licin, kemasan muka pasir, kemasan lapisan skim, kemasan shanghai dan 
kemasan kerutu.

a. Kemasan Licin (Cement Face)

Kemasan ini dibuat dengan menggunakan bancuhan simen yang pekat (Cement Slurry) kemudian di ratakan pada permukaan lepaan dengan menggunakan sudip lepa (Plastering Trowel) untuk mendapatkan permukaan yang licin. Lapisan simen yang ratakan hendaklah nipis sahaja dan tidak boleh ditebalkan, kerana jika ditebalkan permukaan tersebut berkemungkinan tidak rata pada keseluruhannya. Lapisan ini dibuat setelah permukaan lepaan hampir kering.

b. Kemasan Muka Pasir (Sponge Finishing)

Kemasan ini dibuat dengan menggunakan span (Sponge Trowel) yang diratakan pada permukaan lepaan untuk menampakkan permukaan pasir. Kemasan ini dibuat setelah permukaan lepaan hampir kering supaya muka pasir nampak lebih cantik serta jelas dan memudahkan kerja-kerja merata dengan span.

c.Kemasan Shanghai

Kemasan Shanghai dibuat dengan menggunakan campuran batu kelikir (shanghai / pebbles stone) dengan simen portland biasa atau simen warna. Nisbah bancuhan adalah 1:1 (1 simen : 1 bahagian batu Shanghai) atau 1:2 (1 bahagian Simen : 2 bahagian batu Shanghai). Campuran bahan tadi dilepa pada permukaan dinding/tembok bermula daripada bahagian bawah ke atas. Setelah dilepa, permukaan tersebut diratakan dengan menggunakan pemaras kayu panjang dan kayu perata untuk mendapatkan permukaan yang sama dan rata. Setelah permukaan tersebut rata dan hampir kering, permukaan tersebut disembur dengan air menggunakan penyembur air (Iron Spray) untuk menampakkan permukaan batu Shanghai / Pebbles. Kemudian permukaaan tersebut diberus dengan menggunakan berus kecil seperti berus kasut supaya menyerlahkan lagi permukaan batu tersebut. Selepas itu permukaan tersebut dilap dengan menggunakan span yang bersih. Setelah permukaan batu tersebut bersih dan kering bolehlah kita menyapukan permukaan tersebut dengan menggunakan pengilat batu supaya nampak berkilau dan tahan pada tindakan cuaca.


d. Kemasan Kerutu (Rough Cast Finishing)

Kemasan kerutu dibuat setelah sesuatu permukaan dilepa. Ianya dibuat dengan menggunakan bancuhan mortar yang di masukkan ke dalam mesin penyembur ( Rough Cast Machine). Kemudian di semburkan ke permukaan yang dilepa mengikut corak yang dikehendaki setebal 10 mm. Kemasan tersebut pada tembok / dinding hiasan sama di dalam atau di luar sesuatu binaan.


e. Kemasan Skim (Skim Coat Finishing)

Kemasan skim dibuat hampir sama dengan kemasan licin, cuma bahan yang digunakan adalah daripada campuran air dan serbuk skim (skim coat) yang dibancuh menjadi pekat. Seterusnya bancuhan tadi dilepa pada permukaan kering yang telah dilepa untuk menampakkan kerataan dan kecantikan.




Post Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More